Terdapat beberapa kawasan perlancongan dan tempat bersejarah di sekitar Simpang Empat yang boleh dilawati dan diterokai, antaranya:
Muzium Kota Kayang
Muzium Kota Kayang yang terletak kira-kira 16km dari Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Pauh, merupakan pusat penyebaran maklumat yang memelihara dan mempamerkan harta warisan sejarah negeri Perlis. Kawasan muzium ini dahulunya merupakan tapak kota istana tempat bersemayam keluarga diraja Kedah-Perlis. Ini adalah berdasarkan fakta tinggalan sejarah di sekitar kawasannya seperti Makam Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah Ibni Al-Marhum Sultan Muhyiddin Mansur Shah. Reka bentuk bangunan muzium ini berasaskan kepada seni bina melayu dengan bumbung panjang rumah Perlis dan telah dibuka untuk kunjungan pada bulan September 2001. Muzium Kota Kayang mempamerkan 400 koleksi di enam galeri iaitu Galeri Sejarah, Galeri arkeologi, Galeri Senjata, Galeri Kebudayaan, Galeri Diraja dan Galeri Menteri Besar.
Masuk adalah percuma. Pihak muzium juga menyediakan lawatan berpandu. Pelancong atau rombongan boleh membuat tempahan dengan menghubungi 04-9770027 (Isnin-Jumaat, 8-5 petang) atau emel kepada muziumkotakayang.2022@gmail.com.
(Sumber: Laman Web Rasmi Jabatan Muzium Malaysia)
Hutan Lipur Bukit Kubu

Hutan Lipur Bukit Kubu terletak di Kuala Perlis. Terdapat Gua Ikan dan Gua Harimau serta tasik di Hutan Lipur Bukit Kubut tersebut. Kawasan ini juga dikelilingi oleh sawah padi. Di sini sesuai untuk beriadah kerana mempunyai trek larian, trek refleksiologi, laluan hutan, trek mendaki di mana pengunjung dapat menikmati pemandangan serta kemudahan seperti tempat meletak kenderaan dan tandas. Hutan Lipur Bukit Kubu dijaga dan dipantau oleh Kerajaan Negeri Perlis sebagai salah satu tempat tarikan pelancongan. Untuk masuk, pengunjung dikenakan bayaran, Dewasa RM 2.00, Kanak-kanak (6 – 17 tahun) RM 1.00 bagi warganegara manakala bukan warganegara Dewasa RM 5.00, kanak-kanak (6 – 17 tahun) RM 3.00. Masa di buka dari 7 pagi sehingga 6 petang.
(Sumber: Laman Web Rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Ladang Nira Khipli Kuala Sanglang

Ladang Nipah Kipli merupakan tempat makan yang santai dikelilingi oleh pokok nipah. Kawasannya yang terletak di Kampong Tanah Timbul, Kuala Sanglang, Perlis mempunyai lebih 2,000 pokok nipah yang mengeluarkan air nira nipah yang manis dan terkenal dengan khasiatnya. Dsini juga disediakan pondok-pondok rehat dan buaian-buaian di celah-celah deretan pokok nipah untuk anda bersantai bersama keluarga dan bergambar kerana pemandangannya juga sangat cantik. Pelbagai menu disediakan selain dari minuman utama iaitu air nira seperti laksa, ABC dan sebagainya. Ladang ini beroperasi setiap hari bermula jam 12.30 tengah hari sehingga 6.30 petang kecuali hari Isnin ditutup.
(Sumber: Laman Web Rasmi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda)
